Tuesday, June 16, 2009

AURAT ITU AGAMA

Cerita 1 : Di Pusat Beli Belah

" Cantiknya baju ni Yuni ", kata Siti sambil membelek – belek sehelai baju berwarna ungu.

" Hek ehhhh..haa'ahh...iyyyeeee....cantik !!" balas Yuni pula sambil tergedik – gedik melompat riang ria kerana gembira.

" Tengok..tengok harga dia ".

" Wahhhh...patutlah cantik, mahal siot. RM 100 tuh !", kata Yuni.

Tangan Yuni dan Siti masih lagi membelek – belek baju ungu yang berkain nipis dan bercorak bungaan halus. Lembut dan sejuk tatkala tangan mereka menyentuh fabrik yang memperlihatkan warna kulit mereka.

" Aku dah berkenan ni Yuni dengan baju ni. Design diapun cantik. Up to date! " , tambah Siti.
" Wahh...memang cantik bila engkau yang pakai. Vogue gitu ! " .
Lagi pula body kau kan cantik ! Dengan fabrik yang macam ni memang mengancam .
" Beli ajelah kalau dah suka. RM 100 tuh bukan mahal manapun", saran Yuni lagi.
" Ha'aaah...aku dalam kondisi mampu nak beli ni. Gaji aku memang cukup. Everymonth aku ada budget untuk beli pakaian baru " , terang Siti dengan rasa puas dan gembira.
Cerita 2 : Di Pusat Beli Belah Juga ....
" Cantiknya baju ni Yuni ", kata Siti sambil membelek – belek sehelai baju berwarna ungu.
" Hek ehhhh..haa'ahh...iyyyeeee....cantik !!" balas Yuni pula sambil matanya melihat baju itu dari luar dan dalam.
" Tengok..tengok harga dia ".
" Wahhhh...patutlah cantik, mahal harganya. RM 100 !", kata Yuni.
Tangan Yuni dan Siti masih lagi membelek – belek baju ungu yang berkain nipis dan bercorak bungaan halus. Lembut dan sejuk tatkala tangan mereka menyentuh fabrik yang memperlihatkan warna kulit mereka.
Sekejap telapak tangan mereka keluarkan. Sekejap mereka masukkan. Berulang kali mereka lakukan perkara yang sama.
" Ana suka dengan fabrik baju ni Yuni. Design diapun cantik. Up to date! " , tambah Siti.
"Cuma....tapi....", kata Siti teragak – agak.
" Ana tahu kenapa, cuba enti tengok ni", kata Yuni.
Tangannya mengambil pakaian itu sambil di tayangkan pada sinaran lampu.
" Jarangnya...!!", kata mereka berdua.
" Ha'aah..baju ni sangat nipis dan jarang. Boleh nampak warna kulit dan bentuk tubuhpun. Lagi pula harganya pun mahal .Tak berbaloi dengan kainnya yang nipis ".
"Betul kata enti tu Siti. Ana setuju sangat", tambah Yuni lagi.
Lantas mereka berdua meninggalkan pusat beli belah itu dengan tangan kosong.
***
Sebuah al – kisah , dua cerita. Berlaku di tempat yang sama, pusat beli belah namanya. Watak yang terlibatpun sama iaitu Siti dan Yuni. Cuma kondisinya sedikit berbeza.
Agaknya, apalah masalah sebenar dalam cerita satu dan dua ini ya?
Ohhh...pasal pakaian rupanya!.
Iya, cerita tentang dua orang sahabat yang sedang memilih pakaian.
Herrrmm...apa isu yang tersirat di dalam kisah ini pula?
Mari kita sama - sama analisa....

  1. Adakah kerana pakaian yang mereka lihat itu adalah sehelai pakaian wanita yang moden dan terkini ?
  2. Adakah kerana harganya yang mahal ?
  3. Atau kerana fabriknya yang nipis ?
Sebuah Analisa...
Sebenarnya, cerita ini mengandungi mesej yang tersendiri.
Untuk Cerita 1;
Ramai wanita hari ini tidak kisah dengan pakaian yang di pakai mereka. Pilihan mereka dan apa sahaja yang ingin di hiasi pada diri mereka. Bagi mereka, duit adalah penentu segala. Jika mampu untuk membelinya, ia bukanlah satu masalah. Asalkan duitnya ada. Pasti pakaian jenis apa sahaja yang ada di depan mata boleh di miliki. Tidak kira saiznya, bentuknya, jenisnya, itu semua bukan menjadi asas pertimbangan. Yang peting asal ada wang , hati dah berkenan kira sapu sajalah. ...
Untuk Cerita 2:
Bagi sesetengah orang , mereka sangat teliti dalam memilih pakaian. Kerana apa? Cerewet sangatkah dia ? Atau sebenarnya kerana dia tidak berduit ? Ohhh...bukan...bukan..salah tu . Ada yang berduit dan punya kemampuan. Tetapi untuk memiliki sehelai pakaian bukanlah duit yang menjadi ukuran. Bukan juga terhad kepada saiz, warna, fesyen , fabrik dan sebagainya . Tetapi asas utama yang menjadi ukuran adalah agama. Iman dan taqwa menjadi asas pertimbangan yang pertama . Secantik manapun baju itu, selembut manapun fabriknya, tetapi jika nipis sehingga mendedahkan bentuk tubuh, nampak kulitnya, itu bukanlah pilihan utama. Walau hati sudah berkenan, nafsu sanggup di korbankan demi iman dan taqwa kepada Allah. Iya...demi iman dan taqwa kepada Allah. Bukankah kita ini hamba padaNYA, maka perintah siapa lagi yang ingin kita ikuti melainkan perintah Allah swt.
PAKAIAN ITU AGAMA
Sedar atau tidak, sebagai wanita islam sebenarnya kita membawa bersama – sama agama islam di dalam setiap tindak tanduk dalam kehidupan seharian. Iya, selagi mana hayat masih di kandung badan. Selagi itulah kita perlu sedar bahawa kita adalah manusia yang beragama islam, yang tunduk dan patuh pada perintah Allah dan RasulNYA.
Makanya kita perlu menjadikan agama islam sebagai asas pertimbangan dalam apa jua perkara dalam kehidupan kita . Termasuklah soal pakaian.
Hodoh pakaian kita, maknanya buruklah rupa agama yang mendidik kita untuk menutup aurat dengan sempurna. Hodoh dalam erti kata tidak menutup aurat mengikut syariat islam yang sebenar. Bukanlah hodoh dan cantik pada ukuran mata manusia!
Jangan sampai kita menghodohkan agama dengan kejahilan diri sendiri. Memakai pakaian yang tidak langsung mempamerkan imej sebagai orang islam. Ingat! Agama islam adalah agama yang sempurna, yang mengajar kita tentang suatu cara hidup yang sempurna. Merangkumi segala aspek kehidupan. Holistik! Kerana itulah islam agama yang syumul. Hatta dari aspek pakaian pun kita di ajar untuk berpakaian dengan sempurna mengikut kehendak Allah swt dan Rasulullah saw.
Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abu Bakar pernah masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:
"Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud)
Walaupun terdapat perawi lemah dari hadis, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis lain yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan ketika diyakini tidak akan membawa fitnah.
Dr Yusof Al-Qaradawi menegaskan bahawa melihat secara normal kepada wanita atau lelaki, kepada selain aurat, selama tidak dilakukan dengan syahwat dan berulang-ulang, hukumnya adalah halal. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam) . ( Sumber ; www.zaharuddin.net)
Justeru, jadilah seorang wanita islam yang benar - benar islamnya. Beramallah dengan segala perintah Allah dan Rasulullah saw yang telah di tetapkan.
Hanya dengan pakaian yang sempurna kita mendapat pahala sebagai ganjaran di akhirat kelak.
Dengan pakaian jugalah kita mendapat dosa kerana tidak mengikut perintah Allah swt.
Marilah kita sama - sama muhasabah diri, dan check balik pakaian dan imej diri kita . Adakah ia menepati kehendak Allah swt dan Rasulullah saw atau kita hanya mengikut neraca dunia yang menjadikan mata – mata manusia dan hawa nafsu sebagai ukuran kecantikan .
Fikir – fikirkan.....

Friday, June 13, 2008

Demi Masa



Masa Itu Nyawa...

Pepatah melayu menyatakan bahawa masa itu adalah emas. Tidak lain dan tidak bukan kerana harga dan nilaian emas itu sendiri. Betapa mahalnya harga sebuah masa sehingga di analogikan dengan emas.

” Tetapi, apa yang lebih tepat lagi masa itu adalah di ibarat nyawa dan usia ”, itulah kata – kata guruku yang masih kuat terpahat di minda ini.

Kenapa ?, kerana emas walaupun amat berharga dan tinggi nilainya, masih boleh di ganti dan di beli jika hilang.

Tetapi kalau di ibaratkan seperti nyawa , kita tidak mampu lagi memilikinya apalagi membeli atau meminjam nyawa daripada orang lain jika ia sudah terpisah dari jasad.

Begitu juga jika kita mengibaratkan masa itu seperti usia. Setiap saat, minit dan jam yang berlalu itu akan bertambah dan berganti dengan hari, minggu, bulan dan tahun.

Dan yang pasti dengan pertambahan ini, bermakna usia kita semakin meningkat dan bertambah. Kita tidak akan dapat kembali ke usia dan masa yang telah berlalu itu. Kata Pak Hamka di dalam buku ”Tasauf Moden” , 2 perkara yang pasti berlaku dalam diri seorang anak Adam adalah dia akan berhadapan dengan tua dan mati. Tidak boleh tidak.

Pesan bijak pandai ;

”....gunakanlah hari ini sebaik mungkin, kerana esok belum tentu menjadi milik kita, sedang semalam telah meninggalkan kita menjadi satu sejarah....”

Tidak ada siapa yang dapat memberikan konformasi bahawa dia masih hidup seperti biasa pada hari esok, saat malam menjelang. Dapat menjalankan rutin harian seperti sedia kala. Maut dan ajal yang di tentukan Allah swt, tidak ada sesiapa yang dapat menduga. Bila, di mana, dengan siapa atau atas asabab apa kita akan meninggalkan dunia ini, hanya Allah Yang Maha Mengetahui akan hal ini.

Kita sebagai hambaNYA, perlulah sentiasa bermuhasabah dan bermuroqobah terhadap diri sendiri, supaya sentiasa bersedia dengan bekalan amal soleh dalam menempuh hidup ini setiap saat. Takut – takut kita terlalai dan terleka di buai hidup yang sementara di dunia fana ini. Tanpa sempat kita bertaubat dan memperbanyakkan amal soleh dalam hidup kita.

“ ..Barangsiapa yang hari ini lebih baik daripada hari semalam, maka beruntunglah dia, Tetapi jika hari ini lebih buruk dari hari semalam, maka celakalah dia,
dan rugilah bagi dirinya jika hari ini masih sama dengan hari semalam...”

Manusia di bahagikan kepada 3 kumpulan . Sudah pasti kepada yang mengharapkan pembaikan diri dan syurga Allah perlulah sentiasa berpegang kepada prinsip hidup ..”hari ini perlulah lebih baik daripada hari semalam..”.

Sebagaimana firman Allah di dalam surah Al – Asr ;

Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian .
Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan kesabaran.

( Surah Al - Asr).

Di dalam surah ini dengan jelas Allah menyatakan bahawa manusia ini sememangnya berada di dalam kerugian. Kecuali orang yang mempunyai ciri – ciri yang di nyatakan itu akan berada di dalam keberuntungan , dalam menggunakan masa atau waktu hidupnya .

Jangan kita lupa bahawa Allah telah melantik kita dengan jawatan tetap di muka bumi ini sebagai khalifah dan hamba pada NYA. Adalah wajar bagi diri kita untuk menggunakan kesempatam hidup di alam ini untuk menyemai benih – benih iman dan ketaqwaan padaNYA dengan amal soleh yang menjadi bekalan kita untuk kehidupan yang lebih baik di sana. Memperbaiki diri dan mengajak orang lain untuk turut sama dengan kita dalam melakukan amal soleh.

Bagi diri seorang da’ie / da’ieyah , penggerak masyarakat atau aktivis sosial sentiasalah bersedia dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini untuk mengajak manusia beriman kepada Allah, mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan.

Kata Hassan Al –Banna; “ Masa yang kita ada sedikit jika di bandingkan dengan tanggungjawab”.Setiap detik perjalanan hidup kita ini, tidak seharusnya kita bazirkan dengan perkara yang sia - sia.

Dari kejauhan seorang Abang berpesan melalui smsnya ;

Demi masa sepanjang 24 jam, kata Doktor; ” tidur yang sihat itu, sepanjang 8 jam”.
Jika saat ini usia kita 30 tahun, maka selama 10 tahun sudah kita gunakan untuk tidur. Bangun dan berjuanglah wahai sahabat....!!!

Kata – kata ini cukup memberangsangkan fikiran dan mengetuk minda ku. Ada benar apa yang di sampaikan ini. Nasihat seperti ini perlu kita sematkan di minda agar menjadi peringatan buat kita.

Sentiasalah berfikir dan mencari inisiatif , bagaimana untuk menfaatkan diri kita, masa dan kelapangan waktu, tenaga, usia , harta dan jiwa kita, ilmu yang ada ini ke jalan Allah. Demi membina halatuju hidup yang merentasi jalan – jalan yang di redhai Allah.